Kuala Lumpur: Juara dunia 2025, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengambil pendekatan lebih berhati-hati dan tidak memandang rendah terhadap lawan dari Indonesia, Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu meskipun memenangi kesemua enam pertemuan sebelum ini.
Jelas Tang Jie, setiap kali bertemu pasangan itu, Jafar-Felisha sentiasa memberikan tentangan sengit dan perkara berkenaan perlu diberi perhatian agar mereka tidak mengambil mudah ketika beraksi sekali gus mengelak daripada dikejutkan oleh lawan.
“Setiap kali bertemu mereka, perlawanan sentiasa sukar, jadi yang penting adalah persediaan dan perkara yang boleh kami kawal. Kami akan buat yang terbaik sahaja, berikan segalanya dan cuba untuk menang,” katanya ketika ditemui selepas sesi uji gelanggang di Axiata Arena Bukit Jalil, hari ini, menjelang saingan Terbuka Malaysia yang bermula esok.
Selain itu, pemain kelahiran Melaka itu melihat persaingan dalam kejohanan Super 1000 sebagai sangat mencabar dan mereka lebih selesa mengambil pendekatan langkah demi langkah.
“Saya rasa lebih baik kami ambil langkah demi langkah kerana kami pun tidak mahu melihat terlalu jauh sehingga terlepas fokus. Jadi yang penting adalah mempersiapkan diri untuk setiap perlawanan, itu yang paling utama,” katanya.
Untuk rekod, kali terakhir kedua-dua pasangan itu bertemu adalah pada Jelajah Dunia Akhir BWF Disember lalu yang menyaksikan Tang Jie-Ee Wei menang dalam pertarungan tiga set 17-21, 21-14, 21-15.
Dalam perkembangan sama, Ee Wei berharap dapat memanfaatkan kelebihan beraksi di tempat sendiri sekali gus muncul juara di hadapan penyokong sendiri.
Selain itu, Ee Wei menyifatkan peningkatan jumlah beregu campuran yang beraksi di Terbuka Malaysia sebagai satu petanda positif untuk mewujudkan persaingan lebih sengit dalam sektor itu. Sebelum ini, beregu campuran kurang dikenali, namun situasi semasa dilihat mampu mengubah landskap serta memberi suntikan semangat kepada beregu remaja.