SEREMBAN: Pengendali Negeri Sembilan FC (NSFC), Azzmi Ab Aziz menyerahkan kedudukannya kepada pengurusan kelab itu susulan kekalahan terbaru kepada Kuala Lumpur (KL) City FC 0-3 pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi.
Terdahulu, skuad Hobin Jang Hobin turut tewas kepada Johor Darul Ta`zim (JDT) dan Selangor FC termasuk dalam saingan pusingan pertama Piala FA.
Azzmi yang mengharapkan kebangkitan skuad bimbingannya itu menerusi kelebihan beraksi di laman sendiri, jelas kecewa dengan persembahan dan keputusan perlawanan.
“Kita sedar dari segi jadual perlawanan, pada peringkat awal kita berhadapan dengan tujuh pasukan yang mantap.
“Saya mengharapkan sepatutnya malam ini (malam tadi) pemain dapat membuat lebih baik dan sepatutnya tiada keputusan lain kecuali menang atau seri, tapi ia tidak berlaku.
“Memang saya agak kecewa dengan kekalahan dialami pasukan dalam empat perlawanan awal, namun saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas apa yang berlaku dan saya serahkan kedudukan pasukan kepada pihak pengurusan (NSFC).
“Walaupun pahit, saya kena terima kegagalan ini,” katanya.
Pada aksi berkenaan, KL City mendapat gol pertama menerusi jaringan Brendan Gan pada minit ke-28, diikuti Paulo Josue (73) dan pemain gantian, S Sharvin (90).
Sementara itu, ketua jurulatih KL City, Miroslav Kuljanac, mengakui gembira dengan persembahan diperagakan pemain pasukan itu selepas meraih kemenangan pertama musim ini.
sumber:-BH
“Saya berharap momentum kemenangan ini dapat dikekalkan pada perlawanan berikutnya,” katanya.