sukan

Wan Rohaimi dedah punca kekalahan Penang kepada Sabah

KUALA LUMPUR: Ketumpulan jentera penyudah sekali lagi menghantui Penang FC sekali gus menyaksikan mereka dikecewakan pada aksi final Piala Cabaran berdepan Sabah FC di Stadium Likas, semalam.

Meskipun beraksi dengan baik namun kegagalan menyempurnakan peluang membuatkan perlawanan berakhir 0-0 secara agregat sehingga ditentukan dengan sepakan penalti penentuan yang berpihak 4-3 kepada Sabah FC.

Situasi itu diakui pengendali skuad Harimau Kumbang, Wan Rohaimi Wan Ismail yang melihat kedua-dua aksi final itu berlangsung dengan sengit namun masalah sama membuatkan mereka terpaksa berputih mata.

“Kedua-dua pasukan berbalas serangan dan pemain saya sudah memberikan yang terbaik. Cuma bola sepak memerlukan jaringan untuk memisahkan kedua-dua pasukan.

“Itu sahaja kekurangan pada Penang FC di mana kami mencipta peluang dan gagal disudahkan untuk membezakan kedua-dua pasukan. Bagi saya, penalti adalah 50/50.

“Saya akui daripada awal musim sehingga sekarang, saya mempunyai masalah penyudah. Saya harap perkara ini akan ditambah baik untuk baki saingan Liga Super nanti,” katanya.

Dalam masa sama, Rohaimi melihat ketiadaan ayam tambatan, Dylan Wenzel-Halls yang tidak dapat membantu sehingga hujung perlawanan susulan kecederaan menyukarkan misi mereka untuk memburu kemenangan.

“Kita tahu Dylan bermain dengan kecederaan, kita nampak beliau bergelut dan kita terpaksa tukar pada tambahan masa. Kecederaan membataskan pergerakannya.

“Walaupun mengalami kecederaan, dia bermain bermati-mati sehingga terpaksa dikeluarkan pada masa tambahan. Itu sedikit mengganggu kerana dia pemain yang penting untuk mencipta jaringan.

“Tetapi saya bangga kerana pemain sudah memberikan lebih daripada 100 peratus. Kami bermati-matian merebut trofi cuma rezeki tidak menyebelahi kita,” katanya.