sukan

Wan Rohaimi dedah punca Penang dibelasah JDT

Kesilapan individu terutama di bahagian pertahanan dan krisis ketiadaan dua penjaga gol utama yang dibelenggu masalah kecederaan dilihat menjadi punca skuad Penang PC tewas 2-7 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi pertama suku akhir Piala FA di Stadium Bandaraya, semalam.

Ketua jurulatihnya, Wan Rohaimi Wan Ismail berkata, skuad Harimau Kumbang pada awalnya cuba memberikan saingan dan mengimbangi permainan namun kesilapan mudah menyebabkan mereka jauh ketinggalan sekali gus menyukarkan tuan rumah menutup jurang defisit jaringan.

“Kami cuba bersaing, cuba mengimbangi perlawanan, tetapi setelah beberapa kesalahan individu di belakang, terutamanya penjaga gol yang menyebabkan kami dihukum dengan gol-gol yang mudah, itu menyebabkan kesukaran kepada pasukan.

“Apabila kita sudah ketinggalan hingga lima gol yang mana semangat juang pemain sudah luntur, bukan mudah bersaing untuk menghabiskan perlawanan dengan defisit gol yang kecil,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Penang yang beraksi tanpa dua penjaga gol utama, Ramadhan Hamid dan Khairulazhan Khalid yang masih belum pulih sepenuhnya terpaksa menurunkan penjaga gol ketiga, Nor Hakeem Hamidun sebelum dia juga mengalami kecederaan dan digantikan dengan Ashriq Izzat.

Wan Rohaimi berkata, beliau sebenarnya tidak gemar meletakkan kesalahan kepada mana-mana individu namun mengakui kegugupan penjaga gol yang sudah lama tidak beraksi menjadi antara punca kekalahan teruk di tangan pasukan juara bertahan liga domestik itu.

“Saya tidak suka menyalahkan sesiapa atas kekalahan ini, tapi ya nampak ketara kegugupan (penjaga gol) mungkin lama tidak beraksi sehingga melepaskan gol-gol mudah dan itu menjadi titik kejatuhan kami,” katanya.

Terdahulu, Bergson da Silva membuka tirai jaringan JDT pada minit ke-16 diikuti Bradley Tapp (m-45+3 dan 70), Marcos Guilherme (m-53), Juan Martinez (m-63), Shahab Zahedi (m-68) dan Arif Aiman (m-90+5) manakala Penang meledak dua gol menerusi Enzo Celestine (m-46) dan pemain gantian, Khala’if Naskam (m-90+6).

Mengulas persediaan aksi timbal balik, Wan Rohaimi berkata Penang perlu mengambil pengajaran dan memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti selain berharap dua penjaga gol utamanya dapat pulih dan kembali memperkuat pasukan berbaki kira-kira dua minggu menjelang pertemuan penting itu itu.