sukan

Wan Rohaimi puji karakter anak buah

GEORGETOWN: Pengendali Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail memuji semangat juang anak buahnya yang berjaya bangkit mengikat Kuching City FC 1-1 pada saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Beliau berkata, meskipun matlamat asal pasukan adalah mengutip tiga mata penuh di laman sendiri, keputusan seri itu tetap berharga apatah lagi pemain sudah menunjukkan karakter sebenar mereka sepanjang perlawanan.

“Bertembung dengan Kuching City yang kita tahu bukan calang-calang pasukan tetapi melihat kesungguhan pemain berjuang dengan karakter yang sebenar, saya puas hati.

“Walaupun sebelum permainan, matlamat kami mendapatkan tiga mata penuh, tetapi bagi saya lebih baik dapat satu mata daripada tiada langsung,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan.

Wan Rohaimi mengakui, anak buahnya banyak melakukan kesilapan terutama dalam melakukan percaturan mengatur pergerakan bola, menyebabkan skuad Harimau Kumbang sentiasa ditekan The Cats.

“Bagi kita, pasukan masih lagi dalam keadaan kritikal dengan berada di tangga ke-10 liga dengan kutipan 19 mata, kita tidak mampu untuk hilang mata lagi.

“Jadi ada jarak masa sebulan untuk perlawanan seterusnya, saya masih ada masa untuk perbaiki kesilapan-kesilapan yang berlaku pada hari ini (semalam),” katanya.

sumber:-BH

Beliau turut memuji impak pemain gantian, Alif Ikmalrizal Anuar yang menjadi watak penting membantu pasukan meledak gol penyamaan pada minit ke-86 selepas dibawa masuk menggantikan Azmeer Aris yang sebelum itu terpaksa diusung keluar padang.