Pengendali Penang FC, Wan Rohaimi Wan tetap berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan kesebelasan anak buahnya biapun pasukan tersebut gagal mara ke separuh akhir Piala FA musim ini setelah tewas 0-3 (1-5 secara agregat) kepada Johor Darul Ta’zim,
Katanya, kesemua pemain telah mempamerkan peningkatan dalam aspek taktikal permainan bagi berdepan cabaran sukar menentang juara bertahan itu.
“Kami bermula agak baik, tapi selepas minit ke-30 macam fokus sedikit hilang dan kami dihukum dengan tiga jaringan mudah dalam tempoh lebih kurang lima minit dan untuk bangkit semula dalam tempoh itu memang agak sukar,” katanya pada sidang akhbar sejurus tamat perlawanan.
Bagaimanapun Wan Rohami berkata, pada separuh masa kedua, pemain kelihatan kembali fokus dan dilihat benar-benar menikmati permainan bola sepak.
“Semua tahu JDT berada di tahap yang berbeza. Bukan mudah untuk mana-mana pasukan datang ke sini dan menewaskan mereka yang merupakan pasukan yang hebat dan terbaik di negara ini.
“Tetapi, kami tidak datang untuk menyerah kalah. Kami bermain, kami bersaing, dan saya gembira dengan cara pemain bertindak.” katanya.
Menurutnya, pujian harus diberikan pada corak permainan pasukannya yang mampu menyaingi intensiti JDT pada separuh masa kedua, termasuk usaha mengekang pergerakan bintang sayap tuan rumah, Arif Aiman Hanapi.
“Saya sangat berpuas hati dengan prestasi Adib Raop yang berjaya mengawal Arif. Bukan mudah berdepan pemain seperti dia.
“Kita nampak Arif tidak boleh bergerak bebas malam ini. Dalam bola sepak, ia soal ruang dan masa. Kalau kita beri, kita akan dihukum. Pemain saya berjaya menutup ruang dan tidak memberi masa kepada lawan,” katanya.
Sementara itu Wan Rohaimi berkata, biarpun keputusan tidak memihak kepada Penang FC, beliau tetap positif dengan graf peningkatan pasukan yang semakin baik dalam beberapa perlawanan terakhir termasuk menentang Melaka, Negeri Sembilan, Kuching City dan kini JDT.
“Dari segi keputusan, kita terima kekalahan ini dengan hati terbuka kerana kita tewas kepada pasukan yang hebat. Tapi dalam konteks prestasi, saya sangat gembira kerana pasukan berada dalam graf menaik.
“Cuma saya sedikit kecewa dengan gol kedua JDT; bola sudah keluar tetapi penjaga garisan tidak nampak. Apa pun, saya tidak pertikaikan keputusan itu kerana manusia tetap manusia, kesilapan boleh berlaku,” katanya.