KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan bahawa Warzone World Championship (WWC) tidak mendapat kelulusan rasmi daripada pihaknya.
KBS dalam satu kenyataan media pada Ahad menjelaskan bahawa sebarang penganjuran acara sukan, terutamanya yang melibatkan penyertaan antarabangsa, wajib mendapat kelulusan Pesuruhjaya Sukan Malaysia selaras dengan Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576].
“Penganjur yang gagal mematuhi peraturan ini boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 36, Akta 576.
“Kementerian menasihatkan semua pihak mematuhi peraturan sedia ada bagi memastikan integriti, keselamatan, dan imej sukan negara terpelihara,” menurut kenyataan tersebut.
Aksi International Influencer Super Lightweight Champion WWC yang dijadual berlangsung pada 6 dan 7 Disember ini menjadi tumpuan selepas beberapa klip video tular menunjukkan pertengkaran antara petarung Malaysia dan Indonesia.
Video itu dipercayai sebahagian daripada promosi acara dan menimbulkan kritikan dalam kalangan komuniti sukan tempur di negara ini.
Jaguh Muay Thai negara, Johan Ghazali antara yang membuat teguran terbuka dan menganggap gimik berunsur provokatif boleh memberi pengaruh negatif kepada penonton muda dan menjejaskan imej sukan tempur.
Beliau mengingatkan pentingnya penganjur bertanggungjawab dan menjadi sebahagian daripada penyelesaian, bukannya menimbulkan masalah.
“Sudah-sudahlah memalukan sukan ni pakcik. Saya bukan nak kurang ajar dengan orang tua, tetapi kalau orang tua perangai macam budak, siapa hendak hormat? Kita naikkan Muay Thai dari kosong, pakcik datang apabila dah hangat dan buat perangai bangang, siapa tak marah?
“Tolonglah cari penyelesaian dan bukannya masalah. Lihatlah sesuatu itu daripada skop lebih luas, jangan fikir hendak duit cepat sahaja,” kata Johan.
Kenyataan Johan itu ditujukan kepada Pengasas Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (Semboyan), Yusuf Azmi.
Yusuf dijadual bertarung dengan Yunus Martin dari Indonesia dan kedua-dua terlibat dalam beberapa siri provokasi melampau sebagai gimik bagi melariskan tiket WWC.
Malah, sidang media WWC yang diadakan di Bangsar pada Sabtu juga menerima kritikan meluas pengguna media sosial kerana ia dipenuhi drama dan gimik murahan daripada beberapa petarung Malaysia dan Indonesia.
Sementara itu, Muaythai Malaysia turut meluahkan kekecewaan terhadap gimik WWC.
“Nak buat drama promosi tiket terpulanglah tapi jangan malukan nama sukan.
“Tapi bila libatkan budak budak bawah umur dalam marketing tidak bermoral tunggu penarikan lesen,” katanya.