sukan

Wei Chong–Kai Wun harap sejarah tahun lalu tidak berulang

Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong–Tee Kai Wun kini memberi fokus utama untuk melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir BWF hujung tahun ini selepas kecewa tidak layak musim lalu atas kesilapan mereka sendiri.

Bagi Wei Chong, apa yang terjadi tahun lalu akan dijadikan pengajaran sangat berguna selepas hampir layak tetapi disebabkan aksi tidak konsisten dalam beberapa kejohanan terakhir, mereka terlepas slot berkenaan.

Justeru, juara Masters Malaysia itu berharap mereka dapat menampilkan aksi lebih cemerlang dalam beberapa kejohanan akan datang agar harapan itu dapat direalisasikan tahun ini.

“Ya, itu sudah pasti sasaran utama sebab kita pun tak pernah lepas. Sekarang kita ranking keempat dunia (Jelajah Dunia Akhir), tapi kejohanan kita pun sudah hampir penuh sebab maksimum 14 kejohanan.

“Kita sudah menyertai 13 kejohanan. Jadi harap baki beberapa kejohanan ini boleh kekal sekurang-kurangnya sampai suku akhir atau separuh akhir supaya boleh layak,” katanya.

Mengulas mengenai tekanan apabila berada dalam kelompok beregu elit dunia, Wei Chong mengakui mereka tidak dapat lari daripada rasa tekanan dan harapan tinggi peminat.

“Memang sebab kita sudah sampai tahap ini, memang akan rasa tekanan. Tapi yang penting, kita tukarkan tekanan itu jadi motivasi untuk kita. Kita hanya cuba bagi yang terbaik di gelanggang,” katanya.

Selepas ini mereka akan menyertai Terbuka Arctic (7-12 Oktober), Terbuka Denmark (14-19 Oktober), Terbuka Perancis (21-26 Oktober) dan Terbuka Hylo ( 28 Oktober-2 November).