Pemain beregu lelaki negara, Tee Kai Wun berharap dapat membantu gandingannya bersama Man Wei Chong kembali ke kelompok 10 terbaik dunia, meskipun mengakui masa semakin suntuk untuk mencapai sasaran itu musim ini.
Pasangan yang kini merosot ke ranking ke-12 dunia itu akan kembali bergandingan pada Terbuka Denmark minggu depan selepas Kai Wun digandingkan sementara dengan Aaron Chia bagi menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya.
Berdasarkan hanya enam kejohanan bertaraf Super 500 hingga Super 750 berbaki tahun ini, Kai Wun mengakui mereka memerlukan masa untuk kembali ke kelompok elit selepas terlepas menyertai beberapa kejohanan sebelum ini.
“Kami berharap dapat kembali ke kelompok 10 terbaik dunia. Sebelum ini, kami biasanya berada dalam kelompok 10 terbaik atau lapan terbaik, tetapi ia memerlukan masa kerana kami terlepas banyak kejohanan.
“Baki kejohanan tahun ini juga tidak banyak, jadi kami akan berusaha sebaik mungkin untuk mengekalkan kedudukan ranking pada tahap itu,” katanya kepada media selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.
Bagaimanapun, pemain berusia 26 tahun itu tidak mahu meletakkan sasaran terlalu tinggi menjelang kemunculan semula mereka, sebaliknya mahu memberikan tumpuan kepada peningkatan prestasi di gelanggang.
“Saya tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi. Saya hanya mahu fokus kepada prestasi sendiri. Jika kami mampu melangkah jauh, itu lebih baik,” katanya.
Kai Wun turut menyifatkan tempoh perpisahannya bersama Wei Chong tidak terlalu lama memandangkan kali terakhir mereka beraksi bersama adalah pada Kejohanan Dunia, Ogos lalu.
Justeru, beliau percaya mereka mampu kembali bergandingan tanpa memerlukan banyak penyesuaian.
“Saya rasa tempoh itu tidaklah terlalu lama kerana kali terakhir kami bermain bersama adalah pada Kejohanan Dunia.
“Kami akan terus bermain dan membuat persiapan dengan apa yang ada,” katanya.
Wei Chong-Kai Wun dijadualkan membuka kempen Terbuka Denmark menentang pasangan tuan rumah, Christian Faust Kjaer-Rasmus Kjaer, pada pusingan pertama kejohanan yang bermula Selasa ini.