sukan

Wei Chong tiada masalah ‘berpisah’ dengan Kai Wun

KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki negara, Man Wei Chong terbuka sekiranya perlu ‘dipisahkan seketika’ bersama gandingannya, Tee Kai Wun bagi menghadapi Sukan SEA 2025 di Thailand bulan depan.

Keterbukaan juara Masters Malaysia 2025 itu secara tidak langsung menyahut kesediaan Aaron Chia yang sebelum ini turut menyuarakan kesediaan bergandingan dengan mana-mana pemain demi misi membutirkan pingat emas pada temasya dwitahunan berkenaan.

Aaron menyifatkan cadangan berkenaan sebagai realistik memandangkan Malaysia bakal menurunkan skuad yang dianggap antara terkuat bagi memberikan cabaran sengit di Bangkok.

“Ya, memang sudah bersedia. Sebenarnya tidak banyak perbincangan mengenainya, tetapi saya ada dengar daripada pihak kejurulatihan. Jadi, saya hanya perlu sentiasa bersiap sedia,” kata Wei Chong.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia meraih emas Sukan SEA dalam acara badminton ialah pada Vietnam 2021, menerusi beregu campuran Chen Tang Jie-Peck Yen Wei.

Pada edisi lalu di Kemboja, skuad negara gagal menghadiahkan emas, sebaliknya hanya membawa pulang dua perak dan empat gangsa.

Pada temasya kali ini, kem beregu lelaki diterajui bekas juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, bersama Wei Chong-Kai Wun bagi menguatkan misi Malaysia meraih emas.

Dalam acara beregu campuran, juara dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei akan mengetuai cabaran, selain gandingan ranking ke-19 dunia, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, yang turut menjadi sandaran.

Bagi skuad wanita, naib juara dunia di Paris, Pearly Tan-M Thinaah, akan mengetuai cabaran beregu wanita, disokong gandingan Go Pei Kee-Teoh Mei Xing.

Acara perseorangan menyaksikan Leong Jun Hao dan Justin Hoh menjadi taruhan utama dalam kategori lelaki, manakala K Letshanaa serta Wong Ling Ching menggalas cabaran perseorangan wanita.