sukan

Wilkin bakal menjadi antara ‘senjata’ utama skuad negara

KUALA LUMPUR: Laos dan India jelas perlu berhati-hati sekiranya pemain tengah skuad Harimau Malaya, Stuart Wilkin diberikan kepercayaan untuk membarisi jentera tengah bagi dua aksi persahabatan terbabit.

Ini kerana pemain tengah Sabah FC itu memiliki kemampuan untuk melepaskan ‘rembatan roketnya’ menerusi percubaan jarak jauh sekali gus bakal menjadi antara ‘senjata’ untuk skuad negara mendapatkan gol dalam misi melakar keputusan positif.

Wilkin berkata, momentum yang diraih di peringkat kelab banyak membantu meningkatkan keyakinannya apatah lagi dia baru kembali selepas bergelut dengan masalah kecederaan sebelum ini.

“Selepas kembali daripada kecederaan, saya rasa berada dalam keadaan yang terbaik, jadi saya harap dapat meneruskan keyakinan di peringkat kelab untuk membantu skuad negara.

“Saya mahu membuktikan bahawa saya mampu menyumbang gol ataupun mencipta jaringan. Ini antara perkara yang saya fikirkan untuk dua perlawanan ini.

“Setiap pemain ada kelebihan tersendiri jadi pada saya, saya kena tunjukkan yang saya boleh menjaringkan gol untuk kelab dan juga pasukan kebangsaan,” kata Wilkin.

Sebagai rekod, pemain berdarah kacukan itu sudahpun meledak tiga gol dan mencatat empat bantuan gol bersama skuad Badak dalam kempen Liga Super setakat ini.

Skuad kebangsaan ketika ini sudahpun terbang ke Bangkok untuk menghadapi aksi persahabatan menentang pasukan di ranking ke-187 dunia, Laos Khamis ini.

sumber:-BH

Selepas itu, skuad bimbingan Pau Marti Vicente akan bertandang ke Hyderabad untuk menentang pasukan di ranking ke-125, India pada 18 November.