PETALING JAYA – Malam penuh debaran di N9 Arena, Nilai, Negeri Sembilan menyaksikan pengasas Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (Semboyan), Yusuf Azmi, ‘tumbang’ kepada petinju Indonesia, Yunus Martin, 30, dalam acara kemuncak Warzone World Championship (WWC).
Pertarungan yang dinanti ramai ini berlangsung penuh dramatik dengan ribuan penonton hadir memberikan sokongan. Yusuf, 35, tampil penuh bersemangat seawal pusingan pertama apabila beberapa kali melancarkan tumbukan kuat yang mendapat sorakan gemuruh daripada penyokong tempatan.
Walaupun aksi awal Yusuf mencetuskan keyakinan, rentaknya mula goyah apabila memasuki pusingan ketiga. Keletihan jelas kelihatan – wajahnya pucat, langkahnya semakin perlahan, dan tumbukan yang dilancarkan tidak lagi bertenaga. Momentum yang dimiliki pada awal pertarungan seakan hilang, memberi ruang kepada Yunus untuk menguasai gelanggang.
Yunus Martin, yang terkenal dengan gaya agresif, tidak melepaskan peluang. Beliau melancarkan asakan bertubi-tubi, memaksa Yusuf bertahan tanpa mampu membalas dengan efektif. Keadaan semakin kritikal sehingga pasukan Yusuf mengambil keputusan drastik – melemparkan tuala putih dengan baki 22 saat, sekali gus memberi isyarat kepada pengadil untuk menamatkan pertarungan.
Dengan keputusan itu, Yunus diumumkan menang menerusi technical knockout (TKO), mencatat kemenangan sulungnya di Malaysia. Kejayaan ini bukan sahaja mengangkat nama Yunus di pentas antarabangsa, malah membuktikan ketahanan fizikal dan taktikalnya dalam menghadapi lawan yang berpengaruh seperti Yusuf.
Selepas tamat pertarungan, tular video yang memaparkan detik-detik kritikal Yusuf ketika kelihatan kehilangan keseimbangan, terhuyung-hayang, dan bergelut untuk mengekalkan posisi di atas gelanggang. Rakaman itu menarik perhatian ramai penonton serta netizen yang pantas memberikan pelbagai reaksi di media sosial.
Antara komen yang mencuri perhatian:
“Round ke-3 pucat dah muka. Mata pun dah lali, kepala pun dah pening,” ujar @Fantastic.
“Macam boxing cerita P. Ramlee dah,” komen @BayMax11.
“Semangat kuat, stamina tak cukup, faktor dah berumur,” kata @Ubah Suai Rumah.
Walaupun tewas, keberanian Yusuf untuk tampil di pentas besar seperti WWC tetap mendapat penghormatan. Pertarungan ini menjadi bukti bahawa semangat juang tidak mengenal usia, namun faktor stamina dan persediaan fizikal tetap menjadi penentu dalam sukan lasak seperti tinju.
Bagi Yunus, kemenangan ini membuka lembaran baharu dalam kariernya, manakala bagi Yusuf, ia menjadi pengalaman berharga yang pasti akan dikenang oleh peminat sukan tempatan.