sukan

Yamal seorang yang ‘genius’

MUNICH: Jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente melabel pemain sayap berusia 16 tahun, Lamine Yamal seorang yang ‘genius’ selepas mempamerkan aksi memukau ketika pasukan itu melakar kemenangan 2-1 ke atas Perancis di separuh akhir Euro 2024, awal pagi tadi.

Yamal menjaringkan gol menerusi sepakan padu dari luar kotak penalti untuk menyamakan keduduka selepas Randal Kolo Muani meletakkan Perancis di depan sebelum Dani Olma meledak gol kemenangan Sepanyol.

Dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan, Yamal menjadi pemain termuda yang menjaringkan gol dalam sejarah Euro.

“Kita melihat seorang yang genius hasil daripada produk genius,” kata De la Fuente kepada pemberita.

“Dia adalah pemain yang perlu kami jaga – saya perlu memberinya nasihat untuk terus kekal merendah diri.

“Dia akan terus berkembang tetapi kematangan dan sikap yang ditunjukkannya pada usia muda seperti dia seorang pemain yang lebih berpengalaman.

“Kami bernasib baik dia adalah orang Sepanyol dan kami boleh menikmatinya untuk bertahun-tahun lagi.”

Yamal menjadi pemain termuda dalam kejohanan ketika aksi pertama Sepanyol menentang Croatia dan melakukan tiga umpanan dalam laluan pasukannya ke final.

Sepanyol akan berdepan pemenang perlawanan antara England dengan Belanda pada aksi final di Berlin, awal pagi Isnin ini.

Dalam pada itu, De la Fuente turut memuji barisan pemainnya yang lain termasuk Olmo.

“Kami bercakap tentang Lamine tetapi saya mempunyai 26 pemain hebat,” kata jurulatih itu.

sumber:-BH

“Saya mengenali (Olmo) dengan baik dan potensi yang dia miliki… Saya bersyukur memilikinya juga dalam pasukan.” – AFP