sukan

Yang terbaik masih belum tiba – Azeem

KUALA LUMPUR: Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi mungkin menamatkan kariernya bersama Universiti Auburn tanpa gelaran, namun dia membawa pulang sesuatu yang lebih berharga iaitu perkembangan diri, pengalaman dan kenangan sepanjang empat tahun di Amerika Syarikat (AS).

Mengimbau perjalanannya di negara itu, pemegang rekod kebangsaan 100 meter berkenaan menyifatkan tempoh itu banyak membentuk dirinya sama ada di dalam mahupun di luar trek.

“Tiada trofi untuk saya dalam perlumbaan terakhir kolej, tetapi saya sangat bangga untuk pulang dengan segala yang sudah saya lakukan bersama pasukan ini.

“Saya boleh mengatakan dengan bangga saya mempunyai rakan sepasukan, jurulatih, pegawai sokongan dan pasukan terbaik di dunia,” katanya menerusi hantaran di Instagram.

Jumaat lalu, Azeem bersama rakan sepasukan Universiti Auburn gagal mempertahankan gelaran Kejohanan NCAA di AS apabila kuartet itu dibatalkan penyertaan susulan kesilapan pertukaran baton pada final 4x100m lelaki.

Sebelum itu, pelari berusia 22 tahun itu mencuri perhatian apabila membantu kuartet Universiti Auburn mencipta rekod baharu NCAA dalam acara 4x100m pada kejohanan sama.

Azeem bersama Kanyinsola Ajayi, Austin Kresley dan Tyler Davis mencatat masa 37.75 saat pada separuh akhir untuk memadam rekod NCAA 37.90s milik Universiti Louisiana State yang dicipta pada Mei 2023.

Pemenang pingat gangsa 100m lelaki Sukan Asia Hangzhou 2022 itu mengakui sukar mempercayai sejauh mana perkembangan yang dilaluinya sejak menyertai program berkenaan empat tahun lalu.

“Tidak terkira jumlah podium, rekod dan pencapaian. Trek kolej mengajar saya bagaimana untuk menang dan kalah serta mensyukuri setiap peluang yang saya miliki,” katanya.

Atlet kelahiran Perak itu turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memainkan peranan penting dalam perjalanannya, khususnya rakan sepasukan, keluarga dan barisan kejurulatihan.

Selepas menamatkan pengajiannya di universiti berkenaan, Azeem berkata dia kini bersedia untuk melangkah ke fasa seterusnya dalam karier olahraga dengan sasaran yang lebih besar.

“Saya percaya ini satu lagi langkah yang perlu saya ambil untuk menjadi atlet dan individu yang lebih baik pada masa depan. Saya tahu ia tidak akan mudah, tetapi tanpa risiko, tiada ganjaran. Yang terbaik masih belum tiba,” katanya.