sukan

Yuki Tanigawa kini dalam radar skuad Harimau Malaya

Pemain Kuching City FC (KCFC), Yuki Tanigawa berpotensi menjadi satu lagi rekrut baharu yang ‘halal’ untuk skuad Harimau Malaya menerusi proses naturalisasi.

Pemain dari Jepun itu sudah memulakan kariernya bersama pasukan itu pada 2020 sebelum berhijrah ke Kelantan United pada 2021 dan kembali semula ke KCFC pada tahun berikutnya.

Ini menyaksikan pemain yang boleh beraksi di bahagian pertahanan dan tengah itu sudah melengkapkan tempoh lima tahun berada di negara ini sekali gus tidak akan berdepan sebarang masalah untuk dinaturalisasikan.

Ketika diminta mengulas mengenai perkembangan ini, pengendali KCFC, Aidil Sharin Sahak mengakui beliau memberi sokongan seandainya skuad kebangsaan mengintai khidmat Tanigawa untuk aksi antarabangsa selepas ini.

Namun Aidil menegaskan semuanya bergantung kepada keputusan Tanigawa kerana apa yang lebih penting adalah pemain berusia 29 tahun itu kekal menabur bakti bersama KCFC.

“Mengenai pasport, saya bukanlah individu yang tepat untuk menjawab kerana saya bukan jurulatih kebangsaan. Saya jurulatih KCFC dan kami hanya mahukan dia supaya kekal bersama kami.

“Tetapi kalau kamu bertanyakan untuk memberi sokongan, sudah tentu saya akan memberi sokongan kepada pasukan kebangsaan tetapi ia bergantung kepada jurulatih skuad kebangsaan sama ada mahukan khidmatnya ataupun tidak.

“Ia juga bergantung sama ada dia mahu melepaskan pasportnya yang berkualiti itu. Dia pun sudah berkahwin dan memiliki anak, jadi ia satu keputusan yang besar untuk dilakukan,” kata Aidil.

Ketika ini, beberapa pemain yang dijangka dinaturalisasikan selepas melepasi tempoh lima tahun di negara ini adalah dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva dan Manuel Hidalgo serta pertahanan KL City FC, Giancarlo Gallifuoco.