KUALA LUMPUR: Kehadiran muka lama yang terus memimpin Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) adalah bersandarkan kepada kepercayaan yang diberikan ahli gabungan badan induk bola sepak negara itu.
Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengakui terdapat ‘cakap belakang’ yang mengaitkan dirinya bersama Datuk S Sivasundaram kerana masih lagi berada dalam kepimpinan tertinggi FAM untuk Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM 2025-2029 yang bakal berlangsung bulan depan.
Yusoff berkata, situasi terbabit tidak memberi kesan kepadanya memandangkan beliau terus kekal di jawatan terbabit kerana dipilih untuk membawa FAM ke arah lebih baik pada masa akan datang.
Malah, katanya, pemilihan kali ini cukup unik kerana menyaksikan beberapa muka baharu turut bertanding bagi merebut kerusi naib presiden dan EXCO sekali gus memberi gambaran bahawa badan induk itu bersifat terbuka untuk individu lain bertanding merebut jawatan.
“Pada saya, setiap individu atau pihak tertentu mempunyai pandangan tersendiri. Saya sememangnya muka lama namun tidak bermakna tak boleh untuk bekerjasama meningkatkan lagi kualiti bola sepak negara.
“Jika saya tidak disukai sudah tentu tidak akan dicalonkan oleh ahli gabungan.
“Saya kira, pemilihan kali ini ada kombinasi baharu dan lama dan itu sebenarnya akan menjadikan struktur kepimpinan FAM lebih baik,” katanya.
Terdahulu, Naib Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayob menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden untuk menggantikan Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang tidak mempertahankan kerusinya.
sumber:-BH
Yusoff dan Sivasundaram juga menang tanpa bertanding untuk jawatan timbalan presiden, sekali gus mengekalkan kerusi disandang untuk penggal ketiga buat dua individu berkenaan.