KUALA LUMPUR: Pemain muda berbakat dari Segamat, Low Zi Yu membuktikan keunggulannya apabila merangkul dua gelaran pada pusingan akhir Jelajah Elit Remaja AFFIN-100PLUS (JET) 2025 di Dewan Persatuan Badminton Kelantan, Kota Bharu.
Zi Yu, 15, mendominasi kategori Bawah 16 Tahun (B-16) apabila menjuarai acara perseorangan dan beregu perempuan pada kejohanan berprestij peringkat remaja itu.
Pada aksi final perseorangan, Zi Yu tidak menghadapi masalah menundukkan pemain Selangor, Kiera Wong Yin Xuen dengan kemenangan straight set 21-5, 21-19 dalam perlawanan yang hanya mengambil masa 30 minit.
Rentak cemerlang itu diteruskan dalam acara beregu apabila dia yang bergandingan dengan Auni Fatihin Azuan berjaya menewaskan R Loshini-Leong Hwee Ling dari Putrajaya 21-15, 21-13.
Kemenangan itu turut mengukuhkan penguasaan mereka selepas turut menjuarai pusingan kedua JET 2025 sebelum ini.
Sementara itu, pemain dari Pulau Pinang, Lim Zheng Jie muncul juara perseorangan lelaki B-16 selepas bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menundukkan Leong Di Shan dari Perak.
Zheng Jie tewas 12-21 pada set pertama namun bangkit garang untuk memenangi dua set berikutnya 21-19, 21-12 dalam pertarungan sengit yang berlangsung selama hampir sejam.
sumber:- BH
Dalam acara beregu lelaki B-16 pula, pasangan Melaka, Ahmad Qaid Darwisy Ahmad Fuad-Syed Harraz Syed Muzir tampil cemerlang apabila menumpaskan pasangan tuan rumah, Khashah Khairul Azlan-Muhammad Hazwan Muhammad Hafiy Najwan 21-17, 21-13.