sukan

Zii Jia bakal hadapi tekanan beraksi di laman sendiri – Legenda

Kuala Lumpur: Legenda perseorangan lelaki negara, Datuk Foo Kok Keong menggesa barisan pemain negara memanfaatkan peluang beraksi di halaman sendiri apabila beraksi di Terbuka Malaysia bermula Selasa ini.

Kok Keong mengakui faktor tekanan bermain di laman sendiri sukar dielakkan, apatah lagi dengan harapan tinggi peminat tempatan yang sentiasa mahukan kejayaan wakil negara di kejohanan berprestij itu.

“Susah nak cakap, sebab pada zaman saya pun, saya masuk final Terbuka Malaysia tapi kalah kepada (Datuk) Rashid (Sidek), dua kali di final,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.

Terbuka Malaysia dijadual berlangsung dari 6 hingga 11 Januari ini, dengan pemain negara, Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao, menggalas cabaran dalam acara perseorangan lelaki.

Zii Jia bakal berdepan pemain muda India, Ayush Shetty, di pusingan pertama, manakala Jun Hao diuji apabila dijadual menentang pemain nombor 29 dunia dari China, Wang Zheng Xing.

Mengulas mengenai keperluan semangat juang tinggi ketika bermain di halaman sendiri, Kok Keong menegaskan pengalaman antarabangsa memainkan peranan penting dalam membantu pemain mengawal tekanan.

“Setiap pemain mesti ada semangat itu kerana mereka sudah biasa bermain di kejohanan luar negara, jadi pengalaman itu sangat penting.

“Analisis permainan lawan juga amat penting. Beraksi di laman sendiri tetap laman sendiri, tetapi keyakinan itu bergantung kepada diri masing-masing. Jurulatih hanya membimbing sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Kok Keong turut menyuarakan kebimbangan terhadap prestasi perseorangan lelaki negara yang melalui musim sukar pada 2025 dan berharap kebangkitan dapat dilakukan segera.

“Sebagai bekas pemain perseorangan, saya tidak mahu lihat acara perseorangan melalui prestasi yang merosot. Saya mahu lihat pemain perseorangan bangkit.

“Bukan mudah untuk membentuk pemain perseorangan. Beregu negara setakat ini kuat, tapi perseorangan belum lagi. Segala-galanya bergantung kepada pihak pengurusan bagaimana mengendalikannya pemain mereka.

“Selain itu, pemain itu sendiri perlu bekerja lebih keras, bukan sekadar bergantung pada sesi latihan saja,” katanya.