KUALA LUMPUR: Pemain profesional negara, Lee Zii Jia diakui mampu menjadi aset penting skuad negara ke Piala Thomas sekiranya berada pada tahap kecergasan terbaik dan komited untuk bersama pasukan di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei depan.
Namun, pengarah kejurulatihan perseorangan kebangsaan, Kenneth Jonassen menegaskan persiapan pasukan tetap berjalan seperti dirancang dan tidak bergantung kepada seorang pemain semata-mata.
“Kita perlu cuba membentuk pasukan terkuat untuk tempoh 10 hari di Denmark nanti.
“Jika dia (Zii Jia) benar-benar cergas dan komited, sudah tentu dia akan menjadi bahagian penting dalam pasukan Piala Thomas,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia di sini, hari ini.
Menurutnya, fokus utama kem perseorangan lelaki ketika ini terarah sepenuhnya kepada kejohanan berpasukan itu dengan program latihan khas dirangka bagi memastikan semua pemain berada pada tahap optimum.
“Kita sudah rangka minggu latihan ini bukan untuk keputusan jangka pendek di kejohanan antarabangsa, tetapi sebagai persiapan Piala Thomas.
“Minggu ini adalah fasa pertama, minggu depan fasa kedua dan akan ada beberapa lagi program latihan khas sebelum berlepas ke Eropah,” katanya.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei memaklumkan badan induk itu kini hanya menunggu maklum balas rasmi Zii Jia serta beregu lelaki profesional, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani sama ada bersetuju menyertai skuad kebangsaan.
Mengulas kemungkinan Zii Jia yang juga bekas juara Seluruh England menolak jemputan atas faktor kecederaan atau sebab lain, Jonassen tetap percaya barisan sedia ada mampu menggalas cabaran walaupun tugas itu bukan mudah.
“Pemain tahu cabaran yang menanti adalah besar, tetapi mereka komited untuk melakukan yang terbaik. Kita perlu berani memasang impian besar dan mencuba sedaya upaya.
“Jika kita sudah beri segala-galanya, sekurang-kurangnya kita tahu kita sudah berusaha habis-habisan,” katanya.
Selepas melalui musim 2025 yang terjejas akibat kecederaan, Zii Jia kembali beraksi Januari lalu dan menyertai empat kejohanan, namun terpaksa menarik diri ketika menentang pemain Indonesia, Alwi Farhan pada suku akhir Masters Thailand.
Sekiranya Zii Jia yang kini menghuni ranking ke-64 dunia tidak bersama pasukan, Malaysia hampir pasti meletakkan sandaran kepada pemain ranking ke-27 dunia, Leong Jun Hao selain Justin Hoh (39), Aidil Sholeh Ali Sadikin (46), Eogene Ewe (87) atau Kong Wei Xiang (343).