sukan

Zii Jia dedah punca utama membuat keputusan untuk bersara

Tekanan mental dan emosi hampir menyebabkan pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mengambil keputusan untuk bersara daripada arena badminton.

Zii Jia mendedahkan, situasi yang dilaluinya bukan sekadar membabitkan perselisihan faham, malah keadaan menjadi semakin serius sehingga menimbulkan ketakutan untuk berdepan situasi dan perbualan tertentu serta kembali melalui pergolakan emosi sama.

“Sejujurnya, tempoh itu sangat menyakitkan buat saya. Saya tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya ketika latihan, kehidupan saya terasa tidak teratur dan ada ketika saya serius memikirkan sama ada patut bersara sahaja,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu turut mengakui tidak berniat meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada pihak lain kerana sedar sebahagian keputusan yang dibuat tetap menjadi tanggungjawabnya.

Malah, Zii Jia mengakui sikap terlalu mempercayai orang lain, kelemahan dan keraguannya mungkin menyebabkan individu yang benar-benar mengambil berat terhadap dirinya terluka.

Katanya, perkara itu menimbulkan rasa bersalah yang mendalam dan sukar untuk dimaafkan terhadap dirinya sendiri.

Namun, pemain berusia 28 tahun itu menegaskan pengalaman berkenaan menyedarkannya bahawa dia perlu bangkit mempertahankan diri sekiranya mahu meneruskan karier.

“Jika saya masih mahu meneruskan perjalanan ini, saya perlu mempertahankan diri sendiri. Saya perlu berjuang untuk kebebasan, hak membuat keputusan dan mendapatkan persekitaran yang lebih baik untuk diri saya.

“Walaupun saya gagal, sekurang-kurangnya ia adalah pilihan saya sendiri dan saya akan bertanggungjawab terhadapnya,” katanya.

Zii Jia berkata, dia tidak mahu keadaan menjadi lebih buruk atau menimbulkan lebih banyak luka, sebaliknya berharap perkara yang berlaku dapat ditinggalkan secara perlahan-lahan dan semua pihak meneruskan haluan masing-masing.

Katanya, keutamaannya kini adalah kembali memberikan tumpuan di gelanggang selain berusaha mengembalikan kehidupan dan dirinya ke landasan yang betul.

Zii Jia turut berterima kasih kepada rakan, peminat dan penaja yang terus memberikan sokongan serta kepercayaan kepadanya ketika melalui tempoh sukar.

Katanya, sokongan berkenaan menyedarkannya bahawa seseorang atlet bukan hanya layak mendapat sokongan ketika meraih kemenangan, tetapi juga ketika masih berusaha untuk meneruskan perjuangan.

“Saya tidak tahu bagaimana masa depan atau berapa lama semua ini akan mengambil masa. Tetapi saya mahu anda tahu bahawa saya tidak akan mudah berputus asa.

“Tidak kira berapa banyak lagi detik sukar, keraguan atau kegagalan yang perlu saya hadapi, saya akan terus berjuang sehingga tiba hari saya benar-benar tidak mampu bermain lagi,” katanya.