sukan

Zii Jia hampir pasti kembali beraksi di Masters Kumamoto Jepun

Kuala Lumpur: Selepas berehat panjang akibat kecederaan belakang, pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia dijangka kembali ke gelanggang apabila namanya tersenarai untuk beraksi di Masters Kumamoto di Jepun yang dijadual berlangsung dari 11 hingga 16 November ini.

Penyertaan itu memberi bayangan positif mengenai perkembangan tahap kesihatan pemenang pingat gangsa Olimpik Paris berusia 27 tahun itu, yang sebelum ini menjalani program pemulihan jangka panjang selepas bergelut dengan kecederaan belakang.

Zii Jia sebelum ini terpaksa menarik diri daripada tiga kejohanan utama di Eropah iaitu Terbuka Denmark, Terbuka Perancis dan Terbuka Hylo di Jerman selepas menerima nasihat daripada pakar perubatan supaya memberi tumpuan penuh terhadap proses pemulihan.

Kecederaan itu memaksanya berehat seketika selepas insiden menarik diri pada pusingan pertama Masters China, pertengahan September lalu ketika menentang pemain Taiwan, Lin Chun Yi pada pusingan pertama.

Ia sekali gus menambah kepada siri kesukaran yang dihadapinya musim ini, selepas terpaksa berehat hampir lima bulan akibat kecederaan buku lali kanan sebelum membuat penampilan semula di Kejohanan Dunia di Paris, Ogos lalu.

Namun, kepulangan itu tidak seperti yang diharapkan apabila Zii Jia tersingkir seawal pusingan pertama, selain terkandas awal di Terbuka Hong Kong.

Berikutan sudah lama tidak beraksi, ranking Zii Jia yang juga bekas juara Asia serta Seluruh England kini merudum di tangga ke-63 dunia.

Selain Zii Jia, pemain perseorangan negara yang turut tersenarai untuk beraksi di Masters Kumamoto adalah Leong Jun Hao yang juga naib juara tahun lalu serta Justin Hoh.

Masters Kumamoto dijangka menjadi medan penting buat Zii Jia menilai tahap kecergasan serta rentak permainan menjelang penutup musim 2025.