sukan

Zii Jia ingin menebus kekecewaan edisi lalu

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menganggap Sukan Olimpik Paris 2024 sebagai pentas untuk dia menebus kekecewaan yang dialaminya tiga tahun lalu ketika Tokyo 2020.

Zii Jia, 26, yang membuat penampilan sulung pada temasya terbesar dunia itu di Tokyo terpaksa akur apabila tersingkir di pusingan 16 terakhir.

Dia yang ketika itu diundi dalam Kumpulan M menang dalam kedua-dua perlawanan menentang pemain Perancis, Brice Leverdez dan Artem Pochtarov untuk muncul juara kumpulan.

Bagaimanapun, langkahnya terhenti selepas tewas dalam pertarungan tiga set di tangan bintang China, Chen Long 21-8, 19-21, 5-21 di pusingan 16 terakhir.

Di laman X Team LZJ, bekas juara Seluruh England itu berkata, pengalaman di Olimpik Tokyo memberikannya banyak pengajaran dan menegaskan temasya di Paris adalah peluang untuk dia menebus kekecewaan.

“Banyak yang boleh dipelajari daripada penampilan pertama di Olimpik (Tokyo) dan satu lagi peluang untuk menebusnya di pentas terbesar dalam tempoh 20 hari lagi,” tulisnya.

Sebelum ini, Zii Jia yang kini berada di ranking nombor tujuh dunia menetapkan sasaran untuk memenangi pingat emas di Paris.

Dalam satu lagi hantaran, Zii Jia turut mengimbau kenangan ketika diberi tanggungjawab menjadi pembawa Jalur Gemilang di Sukan Olimpik Tokyo 2020 bersama bekas pemain beregu campuran, Goh Liu Ying sekali gus meningkatkan semangatnya.

“Satu penghormatan yang tidak dapat dilupakan sebagai pembawa bendera Malaysia di Olimpik Tokyo bersama seorang lagi Olimpian daripada sukan badminton yang juga pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016, Goh Liu Ying,” tulisnya.

Bagi memenuhi impian memenangi emas, Zii Jia membuat persiapan rapi bagi menghadai temasya di Paris.

Bekas juara Asia itu menghabiskan masa selama seminggu di Singapura bagi berlatih bersama beberapa pemain terkemuka dunia.

Sepanjang di Kota Singa, pemain ranking nombor tujuh dunia itu berlatih bersama juara dunia dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn dan bekas juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew.

Dua pemain perseorangan lelaki Hong Kong, Lee Cheuk Yiu dan Chan Yin Chak turut menyertai sesi latihan bersama itu.

Kean Yew, Kunlavut dan Cheuk Yiu turut akan beraksi di Olimpik Paris.

“Ia adalah minggu yang hebat, terima kasih semua. Jumpa anda semua di Paris,” tulis Kean Yew di laman Facebook miliknya berserta gambar keempat-empat pemain berkenaan.

Zii Jia berjaya merekodkan dua kejuaraan dan satu naib juara dalam lima kejohanan terakhirnya sebelum Olimpik Paris.

sumber:-BH

Dia muncul juara di Terbuka Thailand dan Terbuka Australia manakala naib juara di Masters Malaysia.