sukan

Zii Jia kembali undang keresahan kem badminton negara

PEMAIN perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia dilaporkan mengalami kecederaan sekali gus menimbulkan kegusaran menjelang persiapan skuad badminton negara ke Piala Thomas 2026.

Perkembangan itu mencetuskan kebimbangan dalam kem badminton negara ketika tempoh persiapan kini memasuki fasa penting menjelang kejohanan berprestij itu yang berlangsung di Horsens, Denmark, bermula 24 April depan.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia,Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Zii Jia sepatutnya melaporkan diri ke kem latihan di Bukit Kiara, namun kecederaan ringan yang dialami tersebut memaksa Zii Jia menangguhkan penyertaan menjalani latihan bersama skuad negara buat sementara waktu.

“Saya dimaklumkan dia (Zii Jia) sepatutnya menjalani latihan bermula hari ini (semalam), tetapi mengalami kecederaan. Namuin, dia masih lagi komited untuk hadir.

“Ketika ini, kita perlu memuktamadkan senarai pemain pada minggu depan untuk Piala Thomas dan Piala Uber. Buat masa ini, pasukan dalam fasa akhir untuk memuktamadkanya.

“Apapun, kita masih menunggu maklumat lanjut daripada pasukan Zii Jia bila dia boleh menyertai latihan bersama pasukan,” katanya ketika ditemui di ABM, Bukit Kiara semalam

Zafrul turut menjelaskan kehadiran Zii Jia amat penting dalam memperkuatkan cabaran Malaysia di pentas Piala Thomas.

Bagaimanapun, katanya, tahap kecergasan fizikal dan keyakinan mental pemain perlu berada pada tahap terbaik sebelum diturunkan.

“Jika dia cergas dan yakin, sudah tentu mampu membantu pasukan, tetapi jika masih dibelenggu kecederaan, ia akan sukar,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul menjelaskan perancangan buat Zii Jia dan pasukan negara tidak hanya tertumpu kepada Piala Thomas, sebaliknya turut mengambil kira Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, September depan yang menjadi sasaran penting memburu pingat tahun ini.