Kemaraan Lee Zii Jia ke separuh akhir Terbuka Artik memberikan petanda bahawa pemain profesional negara itu sedang bergerak ke arah yang betul selepas melalui tempoh sukar mencari semula prestasi terbaiknya.
Bekas pemain badminton negara, Ong Ewe Hock berkata, perubahan dalam permainan Zii Jia semakin jelas apabila pemain ranking ke-56 dunia itu kembali menunjukkan keyakinan, ketajaman pukulan dan kawalan permainan yang lebih baik.
“Dia sudah bermain dengan baik. Itu satu permulaan yang baik dan perkembangan positif buat dirinya,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Ewe Hock, apa yang ditampilkan Zii Jia di Finland bukan sekadar soal keputusan.
Cara dia mengendalikan perlawanan berintensiti tinggi turut memberikan petanda bahawa sentuhan permainan yang sebelum ini sukar diperoleh kini semakin kembali.
Zii Jia menghasilkan beberapa keputusan memberangsangkan sepanjang Terbuka Artik, termasuk kejayaan menumbangkan pemain nombor dua dunia dari Perancis, Christo Popov.
Kemenangan tersebut menjadi antara persembahan paling menyerlah pemain negara itu selepas dia berjaya mengawal permainan dan menewaskan lawan yang berada jauh lebih tinggi dalam ranking dunia.
Perjalanan Zii Jia akhirnya berakhir di separuh akhir apabila tewas kepada pemain nombor enam dunia, Anders Antonsen, dalam pertarungan tiga set.
Namun, aksi tersebut masih memperlihatkan daya saingnya apabila Zii Jia berjaya bangkit selepas kehilangan set pertama untuk memaksa perlawanan ditentukan pada set penentuan.
Bagi Ewe Hock, perkembangan itu sememangnya positif.
Namun, beliau tidak mahu Zii Jia terlalu selesa dengan satu kempen baik kerana cabaran utama sekarang adalah mengekalkan tahap sama dalam kejohanan seterusnya.
“Apabila anda mahu menjadi juara, anda perlu mendapatkan semula prestasi terbaik, lebih-lebih lagi selepas sekian lama tidak berada dalam keadaan terbaik.
“Sekarang dia nampak sudah mendapat semula rentak dan sentuhan permainannya. Jika dapat mengekalkannya, saya percaya dia boleh kembali ke prestasi terbaik,” katanya.
Konsistensi menjadi perkara penting kerana perjalanan menuju gelaran memerlukan seseorang pemain menghasilkan persembahan berkualiti dari satu pusingan ke satu pusingan.
Dalam situasi Zii Jia, kemampuan menewaskan pemain berprofil tinggi bukan sesuatu yang asing.
Namun, perkara yang mahu dilihat selepas ini ialah sama ada tahap permainan tersebut boleh dikekalkan secara berterusan.
Terbuka Artik sekurang-kurangnya memberikan jawapan awal yang positif.
Zii Jia berjaya mencipta kejutan, mara ke separuh akhir dan menunjukkan bahawa dia masih mampu bersaing dengan pemain terbaik dunia.
Kini, tugas berikutnya ialah memastikan momentum itu tidak terhenti di Finland.
Jika Zii Jia mampu mengekalkan keyakinan dan tahap permainan semasa, Ewe Hock percaya jalan untuk kembali kepada prestasi terbaik masih terbuka luas.