sukan

Zii Jia lalui perjalanan sukar dipercayai di Paris

KUALA LUMPUR: ‘Satu perjalanan yang sukar dipercayai!’

Itu antara reaksi pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia selepas berjaya merangkul pingat gangsa di Sukan Olimpik selepas menewaskan wakil India, Lakshya Sen di Porte de La Chapelle Arena, sebentar tadi.

Pingat gangsa itu mungkin boleh dianggap sebagai pengubat duka terbaik buat pemain nombor tujuh dunia itu selepas impiannya untuk memburu pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik tidak kesampaian.

“Jujurnya selepas tewas pada perlawanan semalam (separuh akhir), saya tidak pasti sama ada saya mahukan pingat ini (gangsa) kerana sasaran saya hanyalah pingat emas.

“Hanya pingat emas yang belum dimenangi Malaysia jadi saya rasa bagaikan ditampar oleh Kunlavut (Vitidsarn) daripada mimpi yang indah. Saya rasa kosong, saya tidak boleh tidur dan tidak boleh makan selepas itu.

“Tetapi untuk aksi hari ini, saya mengawal permainan pada set pertama dan begitu juga pada set kedua. Lakshya menunjukkan persembahan yang baik tetapi saya dapat mengatasinya untuk memenangi perlawanan.

“Ini adalah satu perjalanan yang sukar untuk dipercayai buat saya,” kata Zii Jia menerusi temubual bersama Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan.

Terdahulu, Zii Jia bangkit daripada tewas set pertama 13-21 sebelum meraih kemenangan 21-16, 21-11 untuk pingat kedua negara di Paris setakat ini.

Ini menyaksikan Zii Jia memperbaiki pencapaian di Sukan Olimpik Tokyo di mana dia berjaya mara sehingga ke pusingan 16 sebelum tewas di tangan pemenang pingat perak dari China, Chen Long 21-8, 19-21, 5-21.

sumber:-BH

Terdahulu, pingat pertama disumbangkan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menewaskan gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 16-21, 22-20, 21-19 pada perebutan pingat gangsa, semalam.