sukan

Zii Jia sah menutup tirai awal untuk tahun 2025

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mengesahkan menutup tirai kalendar 2025 dan tidak akan beraksi dalam sebarang kejohanan sehingga hujung tahun ini selepas bergelut dengan kecederaan berpanjangan.

Walaupun berdepan musim yang sukar, Zii Jia kekal positif dan mensasarkan untuk kembali ke gelanggang pada Januari tahun depan.

Perkembangan itu sekali gus memberi bayangan bahawa pemain berusia 27 tahun itu mungkin melakukan kemunculan semula pada Terbuka Malaysia dari 6 hingga 11 Januari di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Zii Jia yang menarik diri daripada Kejohanan Antarabangsa Syed Modi di India, minggu depan tampil menjelaskan keadaan sebenar mengenai isu kecederaannya sepanjang tahun ini menerusi satu hantaran media sosial.

Dalam kenyataannya, Zii Jia yang kini menduduki ranking ke-83 dunia mengakui 2025 menjadi tempoh mencabar dalam menguruskan kesihatan fizikalnya.

“Sudah agak lama sejak saya menulis sendiri. Seperti yang anda semua tahu, tahun 2025 merupakan tahun yang agak mencabar dan juga satu proses pembelajaran bagi saya dalam menguruskan kesihatan fizikal.

“Ada hari-hari saya berasa berada di puncak dunia dan ada hari-hari saya merasai kesan daripada kecederaan buku lali yang saya alami sebelum ini serta sakit belakang yang berterusan,” tulisnya.

Bekas juara Seluruh England itu berkata sejak aksi terakhirnya di China Masters pada September lalu, dia dan pasukan jurulatih serta pegawai perubatan sentiasa mencari pendekatan terbaik untuk memastikan dirinya kembali berada pada tahap optimum.

“Sejak perlawanan kompetitif terakhir saya di China Masters pada September lalu, saya dan pasukan saya bekerja rapat dengan pakar perubatan untuk mencari kaedah terbaik memastikan saya dapat kembali beraksi pada tahap maksimum.

“Selepas mengambil kira semua maklum balas, dan paling penting mendengar isyarat tubuh saya sendiri, saya merasakan adalah terbaik untuk menutup buku 2025 dan memberi tumpuan kepada kalendar 2026 yang bakal tiba,” katanya.

Mengakui melalui tahun penuh turun naik, Zii Jia berkata tempoh berkenaan turut membuka dimensi baharu dalam hidupnya.

“Tahun ini penuh dengan turun naik dari segi fizikal dan emosi, tetapi saya juga banyak menemui perkara baharu tentang diri sendiri, siapa sangka seni adalah sesuatu yang saya minati,” katanya.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu turut menzahirkan penghargaan kepada keluarga, rakan, pasukan sokongan, penaja serta para peminat yang terus berada di belakangnya.

“Saya kekal bermotivasi dan bersemangat untuk kembali ke gelanggang. Januari semakin hampir,” katanya.