KUALA LUMPUR: Bukan sahaja perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia malah dua beregu lelaki utama negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut tidak disenaraikan bagi Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC), bulan depan.
Turut tidak berada dalam senarai beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah dan beregu campuran utama, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebaliknya menyenaraikan barisan pemain yang dianggap sedang meningkat naik bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala Sudirman itu di Qingdao, China dari 11 hingga 16 Februari.
Untuk acara perseorangan lelaki, cabaran negara akan digalas Leong Jun Hao dan Justin Hoh manakala gandingan Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King menjadi taruhan dalam beregu lelaki.
Dalam perseorangan wanita, BAM meletakkan sandaran kepada K Letshanaa dan Wong Ling Ching manakala tugas dalam acara beregu wanita digalas Go Pei Kee-Teoh Mei Xing dan Tan Zhing Yi-Cheng Su Hui.
Pasangan profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie menjadi taruhan dalam acara beregu campuran bersama Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin.
Pada saingan BAMTC kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Indonesia, Hong Kong dan Kazakhstan.
sumber:-BH
Juara dan naib juara kumpulan layak ke suku akhir manakala empat pasukan terbaik dalam kejohanan itu mendapat tiket automatik ke Piala Sudirman 2025 yang dijadual berlangsung di Xiamen, China dari 27 April hingga 4 Mei depan.