Bintang perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia sudah bersedia untuk memulakan cabaran pada Terbuka Perancis di Paris.
Pemain ranking ke-10 dunia itu akan membuka tirai saingan menentang pemain Denmark, Magnus Johannesen pada pusingan pertama esok.
Zii Jia yang dibimbing Wong Tat Meng mempunyai rekod baik di Eropah sejak 2020.
Sepanjang tempoh itu, dia mara ke separuh akhir 11 kali dan berjaya merekodkan dua kejuaraan dalam lima aksi final yang diharunginya dengan menjuarai Seluruh England 2021 dan Terbuka Artik di Finland, tahun lalu.
Zii Jia memulakan saingan musim ini dengan keputusan memberangsangkan apabila mara ke suku akhir dua daripada tiga kejohanan disertainya iaitu Terbuka India dan Masters Indonesia.
Dia juga membantu skuad lelaki negara muncul naib juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Shah Alam, bulan lalu apabila menang semua tiga perlawanan yang diharunginya.
Tat Meng berkata, Zii Jia menunjukkan peningkatan prestasi yang positif sejak dia mula membimbing pemain itu pada Julai tahun lalu tetapi masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri sepenuhnya dengan corak latihan yang diterapkannya.
“Memang ada peningkatan tetapi tidak terlalu cepat. Saya pun tidak mengharapkan prestasinya meningkat terlalu cepat kerana baru beberapa bulan saya menjadi jurulatihnya.
“Apa yang lebih penting, saya nampak dia kini semakin stabil dan lebih yakin dengan corak latihan saya. Dia perlu diberikan masa untuk menyesuaikan diri dengan corak latihan berbeza,” kata Tat Meng.
Saingan Terbuka Perancis kali ini dilihat sebagai peluang buat Zii Jia untuk memperbaiki kedudukan ranking dunia dan dia akan melonjak ke tangga kelapan sekiranya mara ke final.
Bagaimanapun, ia bukan tugas mudah buat bekas juara Asia itu apabila dia dijangka bertemu pilihan kedua dari China, Shi Yuqi jika mara ke pusingan kedua.
Dia juga mungkin bertemu dua lagi lawan yang sukar iaitu pemain ranking ketiga dunia dari Denmark, Anders Antonsen dan nombor enam dari Jepun, Kodai Naraoka dalam laluannya untuk ke final.
sumber:- BH
Selepas Terbuka Perancis, Zii Jia akan mengharungi dua lagi kejohanan di Eropah iaitu Seluruh England minggu depan dan Terbuka Switzerland (19 hingga 24 Mac).