sukan

Zii Jia semakin hampir rampas kembali status pemain nombor satu Malaysia

Kebangkitan pemain profesional perseorangan negara, Lee Zii Jia di pentas antarabangsa semakin jelas apabila melonjak enam anak tangga ke ranking ke-54 dunia, sekali gus kembali menghidupkan peluang untuk merampas semula status perseorangan lelaki nombor satu Malaysia.

Peningkatan ranking itu hadir selepas pemain berusia 28 tahun berkenaan menampilkan aksi memberangsangkan dengan mara ke separuh akhir Terbuka Kanada minggu lalu, pencapaian terbaiknya dalam Jelajah Dunia BWF sejak muncul juara Terbuka Australia pada Jun tahun lalu.

Lebih manis, ia turut menamatkan penantian selama dua tahun untuk kembali beraksi di pentas separuh akhir Jelajah Dunia selepas bergelut dengan kecederaan yang menjejaskan kariernya.

Pada awal tahun ini, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu pernah merudum ke ranking ke-144 dunia, kedudukan terendah dalam kariernya susulan berehat panjang akibat kecederaan selain terpaksa memulakan semula kempen menerusi pusingan kelayakan.

Namun dalam tempoh enam bulan, Zii Jia berjaya melonjak 90 anak tangga dan kini semakin hampir untuk memintas rakan senegara, Justin Hoh yang berada di ranking ke-51 dunia.

Malah, jurang dengan pemain perseorangan lelaki nombor satu negara ketika ini, Leong Jun Hao yang menghuni ranking ke-30 dunia, juga semakin mengecil sekali gus membuka semula persaingan bagi gelaran pemain perseorangan utama negara.

Zii Jia berpeluang terus memperbaiki kedudukannya apabila dijadual beraksi pada Terbuka Taiwan dari 28 Julai hingga 2 Ogos sebelum meneruskan cabaran di Korea Masters dari 4 hingga 9 Ogos.