sukan

Zii Jia tekad buru hadiah perpisahan terbaik buat Kay Bin

Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia bertekad menampilkan persembahan terbaik di Terbuka Malaysia 2026 sebagai hadiah perpisahan bermakna buat jurulatihnya, Yeoh Kay Bin.

Jelasnya, meskipun Kay Bin sudah tidak bersama Team LZJ, beliau tetap membantu persiapan menghadapi Terbuka Malaysia dan kejohanan itu akan menjadi pertandingan terakhir untuk mereka berdua.

Justeru, Zii Jia berharap dapat beraksi cemerlang dan meraih keputusan positif untuk mara lebih jauh, walaupun keadaan fizikalnya belum pulih sepenuhnya selepas berehat panjang ekoran kecederaan sebelum ini.

“Selain satu ujian besar untuk saya, ini juga satu detik perpisahan untuk jurulatih Kay Bin. Saya mahu beri yang terbaik. Januari ini memang satu ujian besar untuk saya,” katanya.

Untuk rekod, Kay Bin dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan itu pada Disember 2024 dan kontraknya berakhir pada Disember 2025. Team LZJ memilih untuk tidak menyambung khidmatnya.

Untuk pusingan pertama, Zii Jia akan menentang wakil India, Ayush Shetty, dan berharap mampu mencatat kemenangan bagi mara ke pusingan kedua.

Dalam perkembangan sama, tempat Kay Bin bakal diambil alih oleh Liew Daren dan pemain kelahiran Kedah itu berpendapat mereka mempunyai hubungan baik serta keserasian yang tinggi.

“Sejak saya menjadi pemain profesional, Daren sentiasa membantu bersama jurulatih-jurulatih sebelum ini. Kami mempunyai hubungan dan keserasian yang baik.

“Saya masih percaya kepadanya dan dia juga sanggup menerima cabaran ini walaupun situasi saya sekarang agak sukar dengan ranking yang jatuh. Saya sangat berterima kasih kepadanya,” katanya.