sukan

Zii Jia tidak hadir sesi latihan pertama di ABM

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mencetuskan kebimbangan dalam kem skuad kebangsaan apabila dilaporkan mengalami kecederaan dan tidak dapat melapor diri pada sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.

Situasi itu hadir ketika skuad negara sedang giat membuat persiapan menghadapi Piala Thomas di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei ini.

Perkembangan berkenaan dikongsikan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selepas meninjau sesi latihan pertama pasukan negara.

Menurut beliau, Zii Jia sepatutnya melapor diri hari ini, namun terpaksa menangguhkan kehadiran susulan kecederaan ringan.

“Dia sepatutnya bermula hari ini, tetapi kerana mengalami kecederaan sedikit, kami masih menunggu maklum balas bila dia boleh mula latihan. Namun, dia tetap komited untuk hadir,” katanya.

Tegas Tengku Zafrul, kecergasan fizikal serta keyakinan psikologi pemain itu amat penting dalam membantu skuad negara menghadapi kejohanan berpasukan berprestij itu.

“Kalau Zii Jia berada dalam keadaan cergas dan yakin, sudah tentu dia mampu memberi sumbangan besar kepada pasukan. Tetapi jika masih cedera, ia akan menyukarkan,” katanya.

Sebagai rekod, Zii Jia yang kini menghuni ranking ke-80 dunia baru kembali beraksi Januari lalu selepas lebih setahun bergelut dengan kecederaan buku lali dan belakang.

Bagaimanapun, prestasinya masih belum konsisten apabila tersingkir awal dalam lima daripada enam kejohanan disertai, termasuk tewas di pusingan kelayakan Masters Orleans, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul menjelaskan perancangan buat Zii Jia dan pasukan negara tidak hanya tertumpu kepada Piala Thomas, sebaliknya turut mengambil kira Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, September depan yang menjadi sasaran penting memburu pingat tahun ini.

Skuad negara dijangka memuktamadkan senarai 10 pemain bagi Piala Thomas dan Uber minggu depan.