MANCHESTER: Jaringan lewat permainan pemain baharu Manchester United, Joshua Zirkzee memberikan kemenangan 1-0 ke atas Fulham dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris di Old Trafford.
United bagaimanapun bergelut untuk menembusi benteng lawan sepanjang babak pertama, dengan kapten Bruno Fernandes mempunyai peluang terbaik untuk memecah kebuntuan.
Bersambung babak kedua, perlawanan seakan berakhir seri tetapi pemain gantian, Zirkzee menyelamatkan maruah tuan rumah apabila meledak gol kemenangan tiga minit sebelum tamat.
“Untuk menang di sini pada perlawanan pertama saya di laman sendiri dan menjaringkan gol, ia adalah yang terbaik.
“Saya diberitahu (menjaringkan gol di Stretford End) adalah perasaan terbaik di Man United. Saya gembira dapat mengalaminya pada perlawanan pertama. Ia sangat menakjubkan.
“Manchester United adalah kelab besar. Anda perlu sentiasa memberikan yang terbaik. Ia termasuk memberikan 100 peratus setiap hari,” kata Zirkzee.
Tanpa gelaran Liga Perdana Inggeris sejak tahun 2013 dan memanfaatkan jendela perpindahan sepenuhnya untuk mengatasi kelemahan skuad, penyokong United mengharapkan keputusan lebih baik berbanding di tangga kelapan musim lalu.
Namun situasi sama menghantui peminat di Old Trafford apabila skuad kendalian Erik ten Hag sekali lagi kurang kreatif dalam melakukan serangan.
Tindakan cemerlang penjaga gol, Andre Onana, menyelamatkan gawang United daripada dibolosi Kenny Tete, manakala dua percubaan Fernandes dinafikan penjaga gol Fulham, Bernd Leno.
Mason Mount, yang memulakan permainan juga hampir memecah kebuntuan di awal babak kedua.
Penantian United berakhir apabila dua pemain gantian, Alejandro Garnacho dan Zirkzee bergandingan mencipta gol kemenangan.
sumber:-BH
United merakam lebih kemenangan dan mengumpul lebih banyak mata dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris berbanding pasukan lain, namun persembahan kali ini belum cukup meyakinkan untuk menjadi pesaing kejuaraan. – REUTERS