tempatan

Ada kelebihan, kekurangan dapat ‘bye’

Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky yakin pemain negara mempunyai formula terbaik untuk menyesuaikan diri dengan lawan mereka di pusingan kedua biarpun mendapat ‘bye’ di peringkat awal Kejohanan Dunia di Paris yang akan bermula esok.

Bagi Rexy, beliau mengakui pihak lawan ada sedikit kelebihan kerana beraksi lebih awal tetapi masih optimis bahawa setiap pasangan negara sudah berpengalaman beraksi di peringkat tertinggi dan pasti mempunyai strategi mengikut siapa yang akan dihadapi pada hari itu.

Katanya, adalah penting bagi setiap pemain untuk menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang sebelum pertandingan bermula agar setiap beregu mengetahui kelebihan dan kekurangan tempat itu.

“Itu sudah pasti. Cuma seperti yang saya cakap tadi, kalau kamu seorang pemain bertaraf dunia dan sudah melalui pengalaman itu, pasti mengetahui cara untuk mengatasi perkara ini kerana sebelum ini pun mereka sudah pernah melalui situasi yang sama.

“Sebab itulah saya kata, salah satu kuncinya ialah apabila pemain mendapat peluang pada hari pertama atau kedua, diharapkan mereka boleh segera mencari cara untuk menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang,” katanya.

Selain itu, pengendali dari Indonesia itu juga berpendapat mendapat ‘bye’ di pusingan awal mampu memberi kelebihan kepada wakil negara untuk melangkah lebih jauh pada kejohanan berkenaan.

“Ya, itu ada satu kelebihan juga dan boleh jadi satu kekurangan. Kalau ada pemain yang lambat membiasakan diri, ia bahaya tetapi kalau mereka cepat menyesuaikan diri akan menguntungkan mereka,” kata Rexy.

sumber:- HM

Untuk rekod, pada edisi 2023 di Copenhagen, Malaysia hanya memenangi satu pingat gangsa menerusi Aaron Chia-Soh Wooi Yik.