tempatan

Fokus 5 atlet buru emas di LA28

KUALA LUMPUR: Objektif sebenar Road To Gold (RTG) yang dikritik hebat sehingga digelar ‘Road To Gangsa’ diyakini mampu mencapai sasaran emas di Los Angeles 2028 (LA28) sekiranya langkah pendekatan mula diambil dari sekarang.

LA28 hanya berbaki empat tahun lagi dan selepas berakhirnya Paris 2024, barisan atlet seperti jaguh angkat berat, Aniq Kasdan; beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; berbasikal trek, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan perseorangan lelaki, Lee Zii Jia harus dipersiapkan dengan lebih awal.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa berkata, itu adalah langkah yang perlu diambil sekiranya mahu menukar warna pingat di LA28 dan membina sebuah kerangka yang ‘luar daripada pemikiran normal’.

Ini termasuk mewujudkan Rumah Malaysia di Los Angeles dengan lebih awal bagi membolehkan barisan atlet muda seperti pemanah wanita negara, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, Nurul Azreena Mohamad Fazil dan Syaqiera Mashayikh dapat berpangkalan di sana untuk menyertai kejohanan dan latihan.

“Untuk LA28, lima atlet ini boleh kita fokus bermula dari sekarang. Tapi kita kena lihat juga, jangan terlalu ‘rigid’ dengan syarat kerana mereka ini berada dalam kelompok penyumbang pingat, di tempat keempat atau layak dalam kelompok 10 terbaik dunia.

“Kita tak perlu terlalu ‘rigid’ dengan proses RTG LA28. Maksudnya, Rumah Malaysia di LA itu harus dibuka sekarang supaya atlet memanah wanita kita boleh menyertai kejohanan di sana dan menyertai universiti di sana.

“Di sana mereka boleh menyertai perlawanan persahabatan dengan pelajar universiti di LA dan mereka itu pemanah berkelas dunia (yang belajar di sana)… jadi ini sama seperti Azeem (atlet olahraga).

“Jadi kerangka ini perlu keluar daripada pemikiran normal yang biasa kita lakukan. Mereka kena keluar dan buat kerjasama dengan universiti utama di sana. Kenapa tidak universiti lain? Ini kerana, cuaca contohnya New York dan Los Angeles tidak sama. Jadi apa yang kita kena buat, semuanya kena di Los Angeles.

“Sertai kejohanan supaya mereka biasa dengan persekitaran, sosial di sana dan cara pemikiran dan empat tahun lagi, mereka akan rasa seperti kampung halaman di sana.

“Di Rumah Malaysia itu maksudnya atlet bergerak dan ada asrama bersama pegawai MSN, ISN dan sebagainya. Jadi mereka ada tempat untuk berkumpul. Rumah Malaysia itu bukan setakat bila ada Olimpik sahaja, mesti ada kerjasama dengan Kementerian Luar Negara dan bagaimana kedutaan memainkan peranan mereka di sana,” kata Sadek ketika dihubungi.

Kontinjen Malaysia menamatkan kempen Paris 2024 dengan membawa pulang dua pingat gangsa, masing-masing menerusi Aaron-Wooi Yik dan Zii Jia untuk menduduki tangga ke-80 keseluruhan sekali gus gagal mencapai sasaran menamatkan penantian emas pada temasya terulung itu.

Dalam pada itu, Sadek berkata, dia turut mencadangkan supaya Malaysia meneroka sukan lain berbanding hanya fokus kepada sukan popular seperti dilakukan negara jiran Indonesia yang memecahkan tradisi pingat emas menerusi badminton ke acara panjat dinding dan angkat berat di Paris 2024.

“Kita tak payah pergi jauh dan jadikan Indonesia sebagai contoh. Olimpik ini mereka tak dapat emas dalam acara badminton tetapi angkat berat dan panjat dinding.

sumber:-BH

“Kita juga boleh teroka sukan berpotensi raih pingat emas seperti kanu dan kayak kerana kita ada atlet-atlet berbakat dan kemudahan yang bagus. Sukan ini tak tertumpu kepada aspek fizikal tetapi kepada teknologi perkakasan sukan itu,” katanya.