Gol Faisal Halim permulaan kebangkitan Harimau Malaya

Skuad Harimau Malaya memerlukan sentuhan magis Faisal Halim bagi menghadirkan kebangkitan untuk melakar kemenangan 5-1 ke atas Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.

45 minit pertama cukup mencerita kekecewaan buat seluruh peminat bola sepak tanah air apabila terpaksa ketinggalan menerusi jaringan gol Chanthavixay Khounthoumphone.

Kemenangan ke atas Laos dalam aksi terdahulu gagal ditampilkan di awal permainan, apabila setiap gerakan dipatahkan pelawat.

Bersambung dalam separuh masa kedua, Malaysia meningkatkan kadar kerja dengan melancarkan serangan bertali arus di arah kubu lawan.

Gol penyamaan yang dinanti-nantikan akhirnya kunjung tiba — sepakan percuma yang disempurnakan Faisal Halim menggamat suasana.

Ternyata ia menjadi tunjang buat kebangkitan skuad kendalian Peter Cklamovski apabila empat gol berjaya dihasilkan — dua gol daripada Romel Morales, gol sendiri Khammanh Thapaseut sebelum Paulo Josue melengkapkan malam penuh gemilang Harimau Malaya.