Ng Tze Yong terlepas peluang

PEMAIN perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong terlepas peluang membuat penampilan sulung pada Sukan Olimpik 2024 di Paris yang dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Ini selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan pemain ranking ke-18 dunia itu masih belum bersedia meneruskan latihan dan pertandingan peringkat tinggi kerana berisiko memburukkan lagi kecederaan belakangnya.

Justeru BAM dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan, pakar bedah, ahli fisioterapi, jurulatih dan Tze Yong sendiri telah bersetuju pemain berusia 23 tahun itu belum bersedia secara fizikal untuk Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BAC) 2024 di Ningbo, China pada 9 hingga 14 April ini.

Meskipun kecewa kerana terpaksa melepaskan BAC, Tze Yong dalam kenyataan sama berkata, keutamaan pada masa ini adalah kesihatan dan pemulihannya.

“Saya amat berterima kasih atas sokongan pasukan perubatan dan jurulatih, saya akan memberi tumpuan kepada pemulihan saya untuk kembali lebih kuat. Saya harap dapat kembali ke gelanggang secepat mungkin dan menyumbang kepada pasukan,” katanya.

Pemenang pingat perak perseorangan lelaki Sukan Komanwel 2022 itu dijadualkan memulakan kempen BAC 2024 menentang pemain Taiwan Wang Tzu Wei.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, pemain kelahiran Johor berkenaan telah memulakan latihan ringan namun belum meneruskan latihan berintensiti tinggi termasuk lompatan.

sumber:-SH

“Keutamaan kita kepada kesihatan dan kesejahteraan pemain. Pemulihan Tze Yong dan keadaan keseluruhannya menjadi perhatian utama kita.