SEREMBAN: Pemain Negeri Sembilan FC (NSFC) dituntut memperagakan aksi terbaik apabila turun menentang Terengganu FC (TFC) pada pertembungan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam esok.
Selepas mengalami empat kekalahan dalam liga termasuk yang terbaharu dengan Sabah FC, pemain skuad Hobin Jang Hobin tidak boleh mengulangi kesilapan sebaliknya berusaha memperbaiki persembahan bagi mendapatkan keputusan positif.
Ini ditegaskan ketua jurulatih NSFC, Azzmi Ab Aziz, yang mengharapkan anak buahnya dapat memberikan persembahan lebih bertenaga dan agresif sepanjang tempoh permainan dalam usaha mengimbangi kekuatan Terengganu.
Katanya, pemain perlu berusaha menterjemahkan keputusan yang positif kerana kegagalan mengutip mata akan memberikan tekanan yang lebih teruk kepada pasukan, sekali gus boleh menjejaskan saingan dalam liga musim ini.
“Saya sedar cabaran bertemu dengan Terengganu adalah sukar, apa lagi beraksi di tempat lawan, tapi itu tidak boleh dijadikan alasan kerana pasukan amat memerlukan kemenangan untuk dapat bersaing dengan baik dalam liga.
“Saya mengharapkan semua pemain dapat memberikan persembahan terbaik dan melaksanakan tugas mereka dengan lebih cemerlang seperti mana yang dirancangkan.
“Walau apa pun cabarannya, keputusan yang positif perlu diterjemahkan, malah bukan suatu yang mustahil untuk mencapai sasaran itu jika semua pemain melaksanakan tugas dengan baik dan cemerlang,” katanya.
sumber:-BH
Azzmi juga sedar jentera serangan pasukan bimbingannya itu perlu lebih agresif dan bijak dalam usaha meletakkan bola ke dalam gawang lawan.