KUALA LUMPUR: Pengendali skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente melakukan tujuh perubahan dalam kesebelasan utama bagi aksi menentang Timor Leste, malam ini berbanding ketika berdepan Kemboja, Ahad lalu.
Perubahan bagi aksi kedua Kumpulan A Piala ASEAN 2024 di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu termasuk di posisi penjaga gol dengan Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi mengambil alih tempat Haziq Nadzli.
Dominic Tan yang kekal mengisi bahagian pertahanan diberi tugasan sebagai kapten dengan dia bakal bergandingan bersama Harith Haiqal Adam Afkar, Daniel Ting dan Declan Lambert.
Kapten ketika aksi menentang Kemboja, Syamer Kutty Abba bersama Adib Raop tiada dalam senarai bagi menentang Timor Leste selepas kedua-dua pemain itu bersama Penang FC dalam Piala Cabaran, semalam.
Bahagian tengah bakal dikemudi Danial Amier Norhisham, Sergio Aguero, Najmudin Akmal Kamal Akmal dan Syafiq Ahmad.
Sementara itu, Vicente mempertaruhkan Paulo Josue dan Darren Lok untuk menggempur kubu Timor Leste dengan kemenangan besar menjadi buruan Harimau Malaya.